Peace

Friday, 28 December 2018

Cermin - Suatu Analogi

Assalamualaikum

Hari ini, nak cerita sebuah kisah berkenaan cermin


Cermin yang bergantung di dinding ruang makan itu milik seorang lelaki kaya. Cermin itu besar dan berbentuk segi empat tepat, dengan bingkai emas yang lebar dan tebal, dihiasi motif daun dan bunga.

Setiap yang memandang akan memuji. Namun begitu, setiap yang memandang turut menyedari bahawa cermin itu tidak sempurna. Pada salah satu bucunya, bahagian belakangnya yang bersalut perak telah dicalarkan sehingga bahagian itu menjadi jernih seperti kaca biasa.

Kebanyakan orang akan mengeluh apabila melihatnya. Mereka mengatakan, "Oh, kasihan! Kasihan cermin ini telah rosak." Apa yang lebih menarik ialah pemilik cermin ini akan memberitahu tetamunya bahawa dialah yang sengaja mencalarkan bahagian itu.

Apakah?



Lelaki itu kemudian membongkar satu cerita.

Sudah banyak tahun yang lalu, di sebuah bandar kecil di negara  pemain piano unggul Chopin, Poland, terdapat seorang lelaki yang dipanggil Abraham. Dia punya satu kedai kecil dan keuntungannya hanya sekadar cukup untuk menampung keluarganya. Dia bukanlah lelaki yang kaya tetapi tidak pula papa. Dia hanya mempunyai beberapa orang pelanggan.

Terkadang, orang-orang datang tanpa membeli apa-apa pun kerana kedai Abraham tidak punya banyak barang untuk dipilih. Mereka lebih memilih untuk ke kedai yang lebih besar.

Abraham senang dengan hidupnya. Walaupun dia tidaklah berada, dia tetap punya sesuatu untuk dikongsi bersama. Tidak ada pengunjung yang akan lapar ke rumahnya. Setiap kali ada orang susah yang memerlukan bantuan, Abraham akan ada di situ.



Rumahnya hanya kecil sahaja. Catnya tidak berganti kerana mereka tidak punya wang untuk itu. Pada mereka, membantu yang dalam kesusahan itu lebih penting berbanding mengecat rumah. Begitu juga perabot dan langsir di jendela. Sama keadaannya. Tiada permaidani indah. Pakaiannya tidak megah, barang-barang lama kekal digunakan sehingga ada pada beberapa cawan dan pinggan mereka retak dan sumbing. Makanan mereka juga sederhana.

Ya, bukan rumah yang aneh atau moden. Setidaknya, masih sebuah rumah. Sebuah tempat yang dipenuhi kebahagiaan. Semua orang berasa selesa dan aman di situ. Abraham punya banyak tetamu kerana dia memang seorang yang terkenal dengan kebaikan dan kesudian hatinya dalam membantu.

Satu hari, Abraham sedang berdiri di muka pintu, menantikan jika ada sebarang pelanggan. Tiba-tiba, dia menyedari ada seseorang yang tidak dikenali sedang berjalan ke arah kedainya. Abraham tinggal di pekan yang kecil jadi dia mengenali mereka. Abraham menawarkan bantuan kepada lelaki itu untuk berehat di rumahnya.

Tetamu itu menerima tawaran untuk berehat di rumah Abraham. Apa yang Abraham tidak menyedari ialah lelaki itu bukan sebarang lelaki biasa. Lelaki itu merupakan seorang Rabbi yang bijaksana dan terkenal daripada pekan yang jauh. Dia sedang dalam perjalanan ke majlis pernikahan dan kebetulan berlalu di kawasan itu.

Rabbi itu benar-benar gembira dengan persinggahannya. Sebelum dia meninggalkan rumah Abraham, dia berdoa agar Abraham dikurniakan kekayaan agar dapat menolong orang susah dengan lebih mudah.



Setelah si Rabbi pergi, kedai Abraham menjadi tempat yang begitu sibuk. Sepanjang hari tempat itu dipenuhi dengan pelanggan yang berpusu-pusu mendatangi. Semua orang menemui apa yang dicarinya di dalam kedai itu dan tidak membeli di tempat lain. Semakin bertambah hari, semakin banyak pula tetamu yang diterimanya.

Kemudian, kedainya pula dibesarkan untuk menampung lebih ramai pelanggan. Tidak beberapa lama, Abraham menjadi seorang peniaga yang penting dan kaya. Dia menjadi salah seorang lelaki yang kaya di pekan itu.

"With great power, comes great responsibility."
(Ben Parker)



Sekarang Abraham sudah mempunyai kedai yang besar, lebih banyak perkara yang hendak diuruskan. Dia juga risau kalau-kalau perompak memasuki kedai atau rumahnya. Dia mahu perniagaannya berkembang maju. Dia mahukan pakaian megah dan baru. Oleh sebab Abraham terlampau sibuk dengan kedainya, masanya pula berkurang untuk menelaah pengajian agamanya. Dia juga sudah tidak punya waktu untuk berurusan dengan orang susah. Abraham hanya boleh ditemukan dengan temu janji. Setiausahanya yang akan memberikan wang kepada mereka yang memerlukan namun Abraham tidak ada masa untuk mendengar cerita dan masalah mereka.

Abraham dan isterinya membina sebuah rumah baharu yang hampir terlihat seperti sebuah singgahsana. Terdapat banyak kamar, dan kesemua kamar itu besar dan indah. Lantai dilitupi permaidani dan tikar yang hangat. Dinding dipenuhi dengan kertas dinding yang cantik. Semua perabotnya baharu dan mahal. Ruang makan diperbuat daripada kayu yang tahan lasak, berkilat dan mahal. Kerusi-kerusi yang berada di ruang tamu sangat lembut dan empuk. Bergantungan di dinding merupakan lukisan yang dilukis oleh artis-artis sebenar.

Dan pada satu dinding di ruang tamu itu, terdapat sebuah cermin besar. Tersangat besar sehingga hampir menutupi keseluruhan dinding. Di sekeliling cermin itu, ada bingkai yang lebar dan tebal, diperbuat daripada emas. Tidak ada di pekan itu yang punya cermin lebih baik. Siapa yang melihat pasti akan bercerita tentang kecantikannya. Benar-benar satu mahakarya.

Terdapat banyak pembantu di dalam rumah itu. Namun begitu, rumah itu terlalu menarik dan indah sehingga Abraham tidak mahu sebarang pengemis atau orang miskin yang masuk ke dalam. Tiada lagi yang dijemput untuk dijamu. Pembantu rumah akan membuka pintu dan memberikan wang kepada yang memerlukan. Itu sahaja.



"Abraham dah lain."

"Dia dah berubah sejak dia kaya. Sayang! Dia selalu baik tapi sekarang dia dah tak ada masa untuk kita lagi."

Mereka akan menggeleng kepala dan mengingati masa-masa indah sewaktu Abraham tidak pernah gagal untuk menolong yang lain.

Masa berlalu. Satu hari, seorang utusan datang melawat Abraham. Dia dihantar daripada satu tempat yang jauh oleh Rabbi terkenal itu. Khabar Abraham telah sampai kepadanya dan sekarang dia memerlukan bantuan Abraham. Seorang lelaki Yahudi yang tidak bersalah telah dipenjarakan atas tuduhan yang palsu dan memerlukan banyak wang sebagai jaminan.

Abraham sangat gembira untuk membantu. Dia memberikan wang kepada utusan itu dan mengirimnya dengan ucapan perjalanan pulang yang baik. Dia juga berkirim salam dengan si Rabbi.

Utusan itu telah melaksanakan tugasnya tetapi dia tidak berasa gembira kerana sangat sukar untuk berbicara dengan Abraham. Setiausahanya tidak membenarkan sesiapa pun masuk ke pejabat peribadi Abraham. Abraham memberikan dia wang tetapi tidak menjemputnya ke rumah dan membenarkan dia berehat. Sebelum ini, si Rabbi memuji-muji Abraham dan selalu bercakap tentang keelokan peribadi Abraham. Utusan itu tidak mengerti apa yang sedang berlaku.



Apabila dia pulang, dia memberitahu segalanya kepada si Rabbi. Rabbi menggeleng kepalanya, kesedihan. Segalanya telah berubah. Dia mengambil keputusan untuk mengunjungi Abraham untuk melihat apa yang boleh dilakukan.

Apabila si Rabbi tiba, Abraham menerimanya dengan tangan terbuka dan menjemput ke rumahnya. Rumah ini kelihatan begitu berlainan dengan rumah yang dikunjungi sebelum ini. Rumah ini mungkin tampak indah dan tersergam indah, tetapi keramahan dan kehangatannya telah hilang. Si Rabbi berjalan di atas permaidani tebal. Dia melihat ke arah lukisan-lukisan mahal itu. Akhirnya, dia menyedari cermin besar itu.

"Banyak yang berubah, 'kan?" kata Abraham dengan senyuman.

"Lagi satu, cermin ni...yang paling saya suka. Cermin ni yang paling mahal tapi sangat-sangat berbaloi. Masterpiece," sambung Abraham.

"Ya," kata si Rabbi.

"Banyak yang berubah...banyak yang berubah..." sambung si Rabbi.

Tiba-tiba, si Rabbi memanggil Abraham. "Mari sini. Apa yang kamu nampak dalam cermin ni?"



Abraham tertanya-tanya, "Diri saya sendiri. Ini apa yang saya nampak dalam cermin ni. Pantulan diri saya."

"Tengok betul-betul. Apa lagi yang kamu nampak?" duga si Rabbi.

"Saya nampak semua perabot yang terpantul. Saya nampak lukisan, karpet dan tikar. Saya boleh tengok macam-macam benda dalam rumah yang cantik ni," jawab Abraham.

Kemudian, si Rabbi berjalan ke arah jendela bersama Abraham. Lelaki tua itu menolak langsir dan melihat ke luar. Rumah Abraham terletak di jalan besar dan ramai orang yang sering menggunakan jalan tersebut. Abraham mengenali kebanyakan orang yang melintasi jalan itu.

Si Rabbi bertanyakan banyak soalan berkenaan mereka. Abraham memberitahu bahawa wanita dengan raga itu seorang janda miskin dengan banyak anak. Wanita itu mengharap akan ada orang baik yang akan meletakkan makanan ke dalam raganya untuk keluarganya.

Dia memberitahu si Rabbi tentang Bentze, pembawa air, yang sudah semakin tua dan sukar untuk membawa air. Dia menunjuk ke arah Yankel, si tukang jahit, yang menjahit pakaian setiap hari, namun selalu tidak punya cukup wang untuk keluarganya.

Abraham tertanya-tanya mengapa si Rabbi bertanya soalan-soalan ini. Si Rabbi merupakan seorang watak yang serius dan tidak punya waktu untuk dibuang begitu sahaja.

Rabbi berkata kepada Abraham, "Pelik, 'kan? Bila kamu tengok dalam cermin, kamu hanya nampak diri kamu 'ja. Kamu boleh tengok lebih bila tengok daripada jendela. Kamu boleh nampak jiran tetangga kamu dan kawan-kawan dalam pekan ni."

"Betul. Cermin dan tingkap diperbuat daripada kaca. Tingkap tu lutsinar. Cahaya boleh lalu. Cermin pula ditutup dengan lapisan perak bahagian belakang. Cahaya tak boleh tembus dan pantulkan semula," Abraham mengiakan kata-kata si Rabbi.

"Oh! Tingkap tu jernih dan melaluinya kamu boleh tengok orang lain dan kehidupan dia orang. Tapi bila yang ditutupi dengan lapisan perak, apa yang kamu boleh tengok cuma diri kamu 'ja. Bolehkah kalau kamu satu cermin dan buangkan bahagian peraknya supaya kamu dapat tengok orang lain berbanding diri kamu sendiri?" cadang si Rabbi.

Mata Abraham bergenang. Dia begitu malu. Akhirnya, dia mengerti apa yang telah terjadi kepada dirinya setelah dia menjadi kaya.



P/S: Bagai anjing dengan bayang-bayang, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Adakah kita salah seorang daripada "Abraham-Abraham" dalam cerita ni?

P/P/S: Ya, cerita ini diambil daripada website Yahudi tetapi masih ada pengajaran yang sangat berharga di sebalik analogi ini. Sangat berharga.

Assalamualaikum

No comments:

Post a Comment