Peace

Sunday, 30 December 2012

Tuhan Memanggil (ALLAH IS CALLING)






Dia memanggil kita melalui manisnya ketaatan. Namun ada masanya Dia memanggil kita melalui sakit peritnya kederhakaan.

Teknologi semakin canggih,malangnya SANUBARI manusia semakin tidak bersih.Maka dengan kekotoran SANUBARI itu manusia mengendalikan teknologi.Akibatnya,hidup bukan makin mudah tapi jadi makin susah.Bukan susah daripada aspek fizikal & materialnya tapi makin bercelaru sanubari, perasaan dan mentalnya.

Dengan segala macam alat-alat perhubungan yang semakin maju, manusia semakin kreatif mencipta dosa.Suami mencari semula kekasih lama.Isteri melambakkan masalah rumah tangganya dalam ‘muka buku’(FB). Suatu puak memfitnah puak yang lain.Pihak yang lain membalas pula dengan kata nista dan maki hamun yang berjela-jela.
Manusia terpaksa membayar harga yang sangat mahal untuk semua yang diistilahkan sebagai ‘pembangunan’ dan ‘kemajuan’. Inilah ‘Tuhan’ baru yang disembah setiap hari dengan mengetepikan segala prinsip dan nilai yang lebih suci dan maknawi. Manusia yang telah bertukar menjadi ‘haiwan berteknologi’ ini semakin hilang sentuhan untuk berperanan sebaiknya sebagai suami, isteri, anak, pemimpin, pengikut, pekerja dan majikan.
Suami yang curang memburu ‘daging busuk’ dan lalu meninggalkan ‘daging halal’ dalam rumah tangga (metafora yang diambil dalam peristiwa Israk dan Mikraj). Perzinaan dan hubungan terlarang bagi mereka yang telah berkahwin bukan lagi suatu yang asing dalam masyarakat. Begitu juga isteri yang mendedahkan aurat, menjual maruah dan mengabaikan hak suami dan anak-anak juga sudah banyak berlaku. Akibatnya? Setiap 15 minit, satu penceraian berlaku dalam kalangan rumah tangga Islam di dalam negara. Begitu juga remaja Muslim, semakin sukar dikawal. Kita semakin sukar meredakan amukan ‘species’ Mat Rempit, seks bebas, dadah dan jenayah dalam kalangan remaja. Akibatnya? Setiap 18 minit, seorang anak luar nikah dilahirkan dan puluhan ribu penagih tegar ‘terhenti’ di Pusat Serenti.

“Tangisan si fasik oleh ‘kebesaran’ dosanya lebih disukai ALLAH daripada takabur si abid yang tertipu oleh ‘kebesaran’ amalnya.”

Semua ni ‘azab yang dekat’ sebelum azab yg berat di akhirat. Supaya dengannya kita kembali merujuk kepada ALLAH. ALLAH berfirman:



“Kami akan merasakan mereka sedikit azab daripada azab dunia sebelum azab yang besar (di akhirat kelak) agar kamu kembali.”
(As-Sajadah 32:21)


TUHAN MEMANGGIL KITA. ALLAH lambai kita agar kembali kepada-Nya. Dia melontar kita dengan ‘batu-batu kecil’ (ujian-ujian dunia) agar kita sedar daripada alpa dan dosa. ALLAH terlalu saying kepada kita untuk mengazab kita dengan ‘batu-batu besar’ (neraka) di akhirat kelak. TUHAN MEMANGGIL KITA melalui manisnya ketaatan. Namun ada masanya Dia memanggil kita melalui sakit peritnya penderhakaan.

Kembalilah Kepada Tuhan


“Pulanglah pada Tuhan
Cahaya kehidupan
Syarat bahagia di dunia
Akhirat kekal selamanya
Pada ALLAH
ALLAH”

Bagi suami yang mencari cinta baru, lalu meninggalkan isteri dan rumah tangganya dalam keadaan haru-biru & huru-hara…tunggulah bicara dosanya tu nanti.Suami yang derhaka akan ditipu oleh bahagia ‘fatamorgananya’ sendiri.Nanti dia akan menjerit lebih perit daripada apa yang dideritai oleh isteri & anak-anaknya.Begitu juga isteri yang derhaka,belailah kembali SANUBARI suami & anak-anak dengan kelembutan,sebelum dirinya didera oeh kemarahan,kebosanan,kelesuan & kemurungan yang berpanjangan. Begitu juga pemimpin yang tidak adil,rasuah & menipu daya, semakin tinggi dia melonjak,semakin sakit bila terhenyak!Setiap yang haram itu racun. Setiap yang derhaka itu bisa!

“Sudah menjadi lumrah
Kehidupan di dunia
Cabaran dan dugaan mendewasakan usia
Rintangan dilalui
Tambah pengalaman diri
Sudah sunnah ketetapan Ilahi”

Lalu kini bagaimana? Tidak ada jalan lain, kembalilah kepada Tuhan! Carilah kebenaran yang datang daripada-Nya dan tegakkanlah ia di dalam  diri, keluarga dan masyarakat. Siapa yang mencari kebenaran, insya-ALLAH akan bertemu dengan kejayaan. Kebenaran itu bukan dengan mengikut sahaja cara hidup orang yang berkuasa dan kaya-raya…kerana sudah terbukti dalam sejarah, betapa orang yang berkuasa dan kaya-raya menyeleweng daripada landasan kebenaran.

“Deras arus dunia
Menghanyutkan yang terleka
Indah fatamorgana
Melalaikan menipu daya
Dikejar dicintai
Bak bayangan tak bertepi
Tiada sudahnya dunia yang dicari”

Lihat sahaja betapa angkuhnya Firaun, Namrud, Haman dan Qarun, yang punya segala, tetapi akhirnya kecundang kerana tidak mendapat kebenaran. Begitu juga ke mana pergi kaum yang punya teknologi tinggi seperti kaum Ad dan Tsamud…semuanya sudah musnah ditelan sejarah.

“Begitu indah dunia
Siapa pun kan tergoda
Harta, pangkat dan wanita
Melemahkan jiwa
Tanpa iman dalam hati
Kita kan dikuasai
Syaitan, nafsu dalam diri
Musuh yang tersembunyi”

Cari ‘Qalbun Salim’

Berhati-hatilah kerana kebenaran itu juga bukan dengan mengikut suara majority, kerana di dalam al-Quran, ALLAH telah menegaskan bahawa sedikit sekali hamba-Nya yang bersyukur. Malah ALLAH berfirman:



“Sekiranya kamu mengikut kebanyakan manusia yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkan kamu daripada jalan ALLAH.”
(Al-An’am 6:116)


Lebih-lebih lagi pada akhir zaman ini, ketika Islam akan kembali asing (terpinggir) seperti asal mulanya. Suara kebenaran akan menjadi semakin minorirti oleh tempikan kepalsuan dan kejahatan yang lebih vokal dan dominan.
Jadi bagaimana mencari kebenaran? Jawabnya, kembali kepada Tuhan! ALLAH telah berfirman :



“Kebenaran itu daripada Tuhanmu, jangan kamu menjadi orang yang enggan.”

(Ali Imran 3:60)


Apa sahaja yang datang daripada ALLAH adalah kebenaran dan tegakkanlah sedaya upaya. Insya-ALLAH kita akan berjaya. Berjaya di dunia, dengan mendapat kesenangan hidup secara halal  & baik.Dan paling penting berjaya mendapat ketenangan hidup dengan mendapat ‘qalbun salim’ – SANUBARI sejahtera yang kurang berdosa, minima mazmumah.
Kemudian, anggaplah ketaatan kita itu hanya kecil di SANUBARI kita, agar ia menjadi besar di sisi ALLAH. Namun jangan sekali-kali merasakan dosa dan kederhakaan itu sesuatu yang remeh. Sebaliknya, anggaplah kejahatan itu besar di SANUBARI kita, agar ia menjadi kecil di sisi ALLAH.
Marilah kita sedari bahawa tangisan si fasik oleh ‘kebesaran’ dosanya lebih disukai ALLAH daripada takabur si abid yang tertipu oleh ‘kebesaran’ amalnya. Sekiranya tak mampu menangis kerana dosa-dosa kita…janganlah kiranya SANUBARI kita ‘biasa-biasa’ sahaja dengan dosa itu!
Dengarlah bisikan Tuhan. Penuhilah panggilan-Nya. Jika tidak, kita terpaksa mendengar ‘jeritan’ menerusi azab pedih-Nya apabila terus-menerus derhaka dan berdosa!

(Dipetik daripada artikel ‘Sejenak’ oleh Pahrol Mohamad Juoi di dalam majalah Q&A, Isu no. 13, terbitan Galeri Ilmu Sdn. Bhd.)

Mutiara kata:


“Sesiapa menjadikan kematiannya sebagai pertemuan dengan sang kekasih (ALLAH), maka kematian adalah hari raya baginya.”
(Al-Habib Umar bin Muhammad)

No comments:

Post a Comment