Peace

Thursday 22 November 2018

[BEDAH BUKU] Benarkah Iskandar Bukan Zulkarnain?

Assalamualaikum

Lama tak menaip sini...

Entry kali ni nak bedah satu buku (lagi?)



Buku ni dah lama...tahun 2009...dah hampir sedekad

Tapi tergerak nak bedah buku ni sebagai sambungan siri bedah buku sebab baru-baru lagi tengok ceramah Ustaz Auni Mohamad melalui channel Abu Khadijah di YouTube.

Boleh tengok video ni:


Buku ni tak straightforward cerita tentang hamba Allah Zulqarnain (Yang Memiliki Dua Tanduk) ni.

Buku ni ada 4 bab:

Bab 1: Raja Namrud
Bab 2: Raja (Nabi) Sulaiman (sekitar 1000 BC hingga 928 BC)
Bab 3: Raja Bukhtanasar (sekitar 625 BC hingga 562 BC)
Bab 4: Perbincangan Iskandar Bukan Zulqarnain

Dan kisah-kisah sebelum Zulqarnain ni kiranya sebagai preface atau mukadimah kepada perbincangan sebenar tentang Zulqarnain.

Penulis memperkenalkan satu watak bernama Raja Namrud atau Nimrod seperti dalam Bible. Kita mungkin mengenali watak ni daripada cerita Nabi Ibrahim yang dibakar dalam api oleh seorang raja kerajaan Babylon. Inilah dia rajanya. Raja yang mencipta Menara Babel.


"Kami berfirman, "Wahai api! Jadilah kamu sejuk dan penyelamat bagi Ibrahim.""
(Al-Anbiya', ayat 69)

Ini merupakan raja pertama yang disebut oleh penulis. Raja yang kufur malah mengaku sebagai Tuhan.

Daripada Ibrahim (Abraham), datanglah keturunan seterusnya melalui Ishak (Isaac), kemudian anaknya Ya'qub (Jacob/Israel), kemudian 12 Bani Israel yang mana salah seorangnya menjadi Nabi iaitu Yusuf (Joseph). Salah seorang daripada Bani Israel iaitu Lawi (Levi), keturunannya melahirkan Musa yang dikurniakan kenabian dan Taurat (Torah)


Pengenalan satu lagi raja yang kufur iaitu Firaun. Musa dan Harun (adik-beradik) dikurniakan kenabian bagi menghadapi Firaun. Sejak zaman Nabi Musa ni lagi, Bani Israel ni dah disuruh untuk masuk kawasan Jerusalem iaitu tempat yang pernah dijanjikan oleh Allah kepada Ya'qub (Israel) untuk zuriat keturunannya.

Dipendekkan cerita, akhirnya Bani Israel dapat takluk Jerusalem dan kemudian ditawan oleh kaum Philistine. Dalam kekalutan ni, peti Tabut yang menyimpan Taurat dan tongkat Musa dirampas. Dalam masa inilah, Talut (Saul) diangkat sebagai raja Yahudi dan peti Tabut dipulangkan sebagai petanda yang Talut, seorang pemuda biasa layak menjadi raja.


Selepas tu, Daud (David) menjadi raja Yahudi. Si kecil Daud menjadi terkenal kerana berjaya mengalahkan si badan besar Jalut (Goliath) dengan menggunakan lastik batu.

Dan daripada Daud, lahirlah Sulaiman (Solomon) yang menyambung tugas seorang raja dan nabi. Raja yang beriman.


Setelah wafatnya Sulaiman, kerajaan terpecah menjadi dua, iaitu Kerajaan Israel dan Kerajaan Yahudi (Judah). Kerajaan Israel diserang kerajaan Raja Shalmaneser V manakala Kerajaan Yahudi bertahan sehingga akhirnya diserang oleh Babylon.

Penulis akhirnya memperkenalkan satu lagi raja kufur, iaitu Raja Bukhtanasar (Nebuchadnezzar).

Raja inilah yang kita tahu mencipta Taman Tergantung Babylon, antara Seven Wonders of the Ancient World.


Pada zaman raja inilah, semua Taurat dihapuskan dan Uzair (Ezra/Azaria) diangkat menjadi nabi. Uzair ditidurkan semasa Jerusalem berada dalam kemusnahan selama 100 tahun. Bila bangkit semula, kerajaan itu dah bangun semula tapi Taurat masih lenyap.

Dengan mukjizat daripada Allah, Nabi Uzair dapat melafazkan semula isi Taurat berdasarkan ingatannya.

Akhirnya, penulis masuk bab Perbincangan Iskandar Bukan Zulqarnain.

Kita sebagai masyarakat Malaysia pun tak lari daripada satu gelaran ni iaitu Iskandar Zulqarnain. Figur ini yang menjadi legasi yang akhirnya melahirkan keturunan Raja-Raja Melayu mengikut Sulalatus Salatin. Yang ni 'no comment'.


Pertama sekali, Iskandar ialah Alexander the Great, seorang Maharaja Agung Makedonia atau Greece (kedua-dua negara ni berebut maharaja yang sama pada zaman moden ni). Manakala Zulqarnain pula perkataan Arab yang bermaksud mempunyai dua tanduk. Ada juga yang mengatakan berasal daripada dua kurun.

Dua tanduk di sini boleh diumpamakan juga dengan yang memiliki dua ufuk timur dan barat. Sebagai tanda besarnya empayar Zulqarnain.

Alexander III ni berguru dengan Aristotle, satu lagi nama yang cukup dikenali dalam dunia sejarah.


Tiga ahli falsafah yang terkenal iaitu Socrates, anak muridnya Plato, dan anak murid Plato ialah Aristotle.

Penulis juga memperkenalkan seorang lagi Maharaja Agung iaitu Maharaja Kurush (Cyrus the Great). Tokoh ni merupakan tokoh yang juga terkenal bagi Bani Israel kerana setelah Babylon ditawan oleh beliau, beliau membebaskan semua orang Yahudi yang dijadikan hamba abdi sejak zaman Raja Bukhtanasar tadi. Dalam tempoh inilah, Uzair ditidurkan dan dibangkitkan.

Dalam Old Testament (Kristian) atau Tanakh (Yahudi), dalam Book of Daniel, bab 8 ada tertulis mengenai seorang Nabi bernama Daniel yang bermimpi.

Dalam mimpi tu, ada seekor kambing gurun bertanduk dua yang mengalahkan semua jenis binatang kecuali pada akhirnya dikalahkan oleh kambing bertanduk satu. Malaikat kemudian menjelaskan yang bertanduk dua itu adalah raja kepada Madia (Media) dan Parsi (Persia), dan yang bertanduk satu itu ialah raja Yunani (Greece).


Satu-satunya, raja yang menyatukan kerajaan Madia dan Parsi hanyalah Raja Kurush. Selepas kewafatan Raja Kurush, beberapa orang waris selepasnya tewas dan empayarnya musnah di tangan Raja Iskandar.

Selain itu, Raja Kurush disebut dalam Book of Daniel dan Book of Ezra sebagai seorang yang takut akan Tuhan, perwatakan yang digambarkan sama dengan Zulqarnain.

Ciri-ciri Zulqarnain:

1. Perjalanannya ke arah terbenamnya matahari (barat)
2. Menerima ilham daripada Allah
3. Perjalanannya ke arah terbitnya matahari (timur)
4. Membina tembok menghalang Ya'juj dan Ma'juj.


Kesemua ciri-ciri ini ada pada Raja Kurush seperti yang dinyatakan oleh penulis.

Sekian.

P/S: Banyak perincian yang terpaksa dipotong-potong kerana terlampau panjang namun inilah intipati utama yang didapati daripada buku ini. Insya-Allah.

Assalamualaikum

No comments:

Post a Comment