Sepasang sayap tak terlihat,
Umpama mimpi yang tersimpan,
Jadi rintik-rintik hujan menciptakan,
Awan yang terpilu…
Lagu ‘Awan Yang Terpilu’ oleh Ning Baizura yang berkumandang keluar daripada corong ketuang udara itu benar-benar membuatkan hatinya tersentuh. Lagu itu seperti didendangkan khas buatnya. Sungguh menyayat hati. Apabila ditelitinya dengan hemat setiap bait pada setiap rangkap lagu tersebut, air matanya tumpah kerana mengenangkan perkara itu. Walaupun lagu ini agak retro bagi kebanyakan masyarakat metropolitan pada hari ini yang mengejar kemewahan dan kemahsyuran dunia, namun baginya dunia ini kosong tanpa memori.
Memori, kenangan dan sejarah menghiasi malah membentuk apa yang ada pada hari ini. Namun begitu, tidak ramai yang sedar akan perkara ini. Muda-mudi zaman ini langsung tidak mengenali budaya dan adat istiadat bangsa mereka sendiri kerana minda mereka telah dijajah sehabisnya oleh anasir-anasir yang mahu mengusir budaya yang tampak di mata mereka ketinggalan zaman dan kuno.
Demi mengejar kemewahan, manusia sanggup berbuat apa sahaja. Lihat sahaja media massa yang menyiarkan banyak berita tentang kes-kes jenayah seperti pembunuhan usahawan yang terkenal, Sosilawati dan bermacam-macam lagi. Adakah ini yang dituntut oleh budaya dan agama? Adakah kata-kata Laksamana Hang Tuah, “Takkan Melayu hilang di dunia” hanya tinggal sejarah kerana sudah lapuk dan kuno sehingga tidak dihiraukan segelintir insan pada hari ini.
Begitulah persoalan-persoalan yang bermain di benak Ahmad Muhammad, seorang pemuda yang dilahirkan beragama Islam kerana ayahnya merupakan seorang muallaf berbangsa Cina yang berkahwin dengan seorang gadis Melayu iaitu ibunya, Aminah. Ayahnya, Kim Fatt atau Muhammad merupakan seorang warganegara asal di sini manakala datuknya, Kim Tan merupakan salah seorang daripada buruh Cina yang dibawa masuk ke Tanah Melayu melalui Sistem Tiket Kredit yang diperkenalkan oleh pihak British yang pernah menjajah Tanah Melayu ini.
Pada pandangan Ahmad, mereka masih lagi menjajah bumi ini tetapi melalui mentality kerana cara itu lebih senyap dan kejam tanpa disedari bangsa yang dijajah itu. Walaupun Ahmad berdarah kacukan Melayu-Cina namun dia tidak mahu anak bangsa Melayu yang sering dianggap pelupa yang alpa akan nenek dan moyang mereka, kesusahan dan kepayahan mereka dalam memperjuangkan hak bangsa hancur.
Aminah yang kini dimamah bumi telah lama pergi meninggalkan Muhammad bersama-sama Ahmad dan Hamidah,adiknya dalam kesusahan kerana penyakit yang sering menjadi igauan kaum Wanita iaitu kanser payudara. Namun begitu, mereka bersyukur kerana masih dikurniakan seorang ayah yang masih kuat dan bertanggungjawab dalam menyara kehidupan mereka bertiga. Keluarga mereka merupakan salah sebuah keluarga peneroka FELDA yang telah lama menetap di situ.
“Woi, apek! Aku ada berita baik punya ni,” jerit Amin yang telah pun memasuki perkarangan rumahnya dengan basikalnya yang baru dicat berwarna kuning. Serta-merta lamunannya terhenti.
“Yela, apek. Ada cerita gempak mau kasi tau ni,”kata Amani yang tiba bersama-sama Amin. Amin dan Amani merupakan adik-beradik kembar yang juga merupakan sahabat baik Ahmad.
“Ni ha,tengok. Kau punya sajak haritu cikgu dah terbitkan kat dalam antologi “Inilah Syurgaku” yang sekolah kita buat tu,”sambung Amin.
“Wah, popular la apek pasni. Cikgu satu sekolah puji karya kau. Kat bahagian depan buku ni kan ada ulasan A.Samad Said. Dia pun puji karya kau. Kalau tak, takkan la diorang ambil tajuk sajak kau jadi nama antologi tu,” Amani berceloteh sambil menunjukkan ulasan tokoh sasterwan negara yang terkenal itu.
Apek tersenyum kerana dipuji sebegitu lebih-lebih lagi oleh Amani, gadis yang disukainya dalam diam kerana ingin menjaga persahabatan mereka bertiga. Amani seorang gadis Melayu yang bertudung litup kelihatan begitu ayu apabila tersenyum dan tingkah lakunya yang sopan-santun menjadi kegilaan pemuda di sekolahnya.
“Mungkin sebab tu la ayah pilih emak kot,” monolog dalaman Apek.
Apek membuka lembaran buku itu dan mencari kedudukan karyanya. “Inilah Syurgaku”. Begitulah tajuk sajak yang digubah Apek.
Tanah ini satu amanah
Diserah jangan kepada penjajah
Apatah lagi menyerah kalah
Melayu kekal kata Tun Tuah
Titah sultan jangan disanggah
Jebat mati menjadi sejarah
Sultan tunggak negara juga pemerintah
Taat rakyat menjunjung sembah
Inilah syurgaku
Tempat lahir, tempat kukaku
Berjuang tanpa letih dan lesu
Baru tinggi martabat Melayu
Inilah bumi kedamaian
Juga tempat keramaian
Bangsa yang lain menjadi kawan
Agar hayat sentosa dan aman
Peganglah pada syiar Islam
Agar mungkar terus diam
Hilang lenyap siang dan malam
Cahaya terang menelan kelam
“Wah! Mana kaudapat idea nak buat sajak camni Apek? Kitorang Melayu asli pun tak dapat nak buat sajak camni. Kelas la kau!” puji Amin.
“Eh! Mana bapa kau ha? Tak nampak pun batang hidung dia. Selalu ada petang-petang camni,” Tanya Amani sambil memanjangkan lehernya untuk mencari Pak Mat.
“Oh, tak sangka pulak kau prihatin betul sama bapak aku tu! Sudah berkenan ke? Aku boleh tolong,” gurau Apek.
“Aishh…apa pulak sampai ke situ apek oi! Nak ke aku jadi mak tiri kau. Aku ni garang tau!” jelas Amani sambil menjegilkan kedua-dua matanya yang bundar itu.
“Alamak, takutnya! Takdelah. Bapak aku pergi rumah tok ketua nak mintak tandatangan dia sebab aku nak pindah sekolah tahun depan,” beritahu Apek, datar sahaja nada suaranya. “Mungkin itu yang terbaik untuk aku…” air mata Apek menitis.
“Sabar la Apek. Ni semua dugaan Allah. Budak-budak Sekolah kita tu memang suka buli orang miskin macam kita ni. Ish, geramnya aku!” luah Amin sambil mengepalkan buku limanya.
“Apek kerepek! Apek kerepek! Tau la bapak kau jual kerepek,” ajuk Amani.
“Bukan sebab tu. Sebenarnya kau tak tau. Budak-budak ni dengki sebab aku rapat dengan adik kau ni, Ani. Yela…adik kau kan lawa, baik, bersopan-santun. Perempuan Melayu terakhir la katakan,” kata Apek. Sempat lagi dia memuji dan berceloteh.
Amani sudah tersipu-sipu. Dia menoleh untuk menyembunyikan tona kemerahan pada air mukanya.
“Adik aku ni suka kat kau. Tiap hari dia cerita pasal kau. Dia kata minat korang sama, memancing kan? Tak sangka pulak pancing orang,” bicara Amin sambil menyeringai.
“Abang!” jerit Amani lalu berlari keluar daripada rumah Pak Mat. “Abang balik sorang-sorang. Tak nak teman! Bwekk!” Amani mengayuh basikalnya Dengan begitu laju kerana terlalu malu.
Rupa-rupanya, Amani pun suka padanya.Bagai bulan jatuh ke riba, pungguk tidak lagi derita.
Anda nak lagi? Buatlah sesuatu agar penulis ini menjadi rajin selalu... Insya-ALLAH
No comments:
Post a Comment