Peace

Monday 9 December 2013

Applied Physics: Kerja Kecil, Impak Maksimum


Assalamualaikum

Haritu ada ternampak seorang senior Applied Physics USIM post kat group Facebook

Satu gambar yang menunjukkan kita patut berterima kasih

And then tadi baru terbaca pasal satu tajuk dalam buku Hilal Asyraf, Fanzuru: Maka Lihatlah


Bab 58 - Kerja Kecil, Impak Maksimum

Pada suatu hari, saya pergi ke masjid Universiti Yarmouk untuk solat Maghrib. Ketika memasuki pintu masjid, saya perasan akan kehadiran seorang lelaki Melayu. Saya belum pernah melihatnya di Irbid ini. Namun dari wajah dan gayanya, saya dapat menjangka yang dia adalah seorang pelajar. Oleh kerana iqamah sudah dilaungkan, maka saya pun bergegas memasuki saf tanpa menegurnya.



Kebetulan, dia solat sebelah saya.

Selepas solat, saya bersalaman dengannya.

“Pelajar Mut’ah?” saya meneka. Dia mengiakan. Rupanya, dia sudah bercuti ketika itu dan dia hendak bersiap-siap pulang ke Malaysia memandangkan pengajiannya telah tamat. Dia sengaja datang ke Irbid untuk berjalan-jalan kali terakhir.



“Nama ana Hilal,” saya memperkenalkan diri. Rupa-rupanya, dia memang telah mengenali saya, melalui penulisan saya di laman sesawang Langit Ilahi. Tanpa saya sangka, dia rupanya salah seorang daripada ahli GKLN juga.



Akhirnya, kami tidak beralih tempat, malah duduk bersembang bersama-sama.

Kami bersembang berkenaan penulisan.

Dalam sembang-sembang kami itu, saya ada menyatakan bahawa wujud segelintir orang yang memandang rendah akan penulisan.

Ya, memang ada. Malah, saya juga ada berjumpa beberapa orang yang memandang lekeh artikel-artikel saya di laman sesawang tersebut dan karya-karya yang saya tulis. Pada mereka, ini semua tidak bermakna dan tidak akan mampu mengubah apa-apa di dalam dunia ini.



Saya katakan kepada senior tahun akhir itu bahawa saya sebenarnya tidak melihat bahawa usaha penulisan ini adalah usaha yang rendah dan tidak berkesan. Mungkin, kita boleh katakan kurang berkesan berbanding dengan menunjukkan qudwah, berceramah dan sebagainya. Namun penulisan ada kelebihannya yang tersendiri.

“Lagipun, tidak salah rasanya kita berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam apa yang kita mampu lakukan dengan baik. Saya boleh menulis, jadi saya menyumbang kepada ummah ini, kepada perubahan dunia ini melalui penulisan saya,” jelas saya.

“Walaupun penulisan ini nampak kecil atau lekeh, ini juga adalah satu usaha yang insya-ALLAH akan mempunyai kesan yang besar. Cuma, orang mungkin tidak nampak hari ini,” saya menyambung.
Ketika itu, pelajar senior ini berkongsi sesuatu yang bermakna dengan saya. Dia ada satu cerita yang dapat memotivasikan diri saya. Dan cerita inilah yang hendak saya kongsikan dengan anda.

Dia bercerita berkenaan seorang pak cik tua. Kerjanya adalah mengetatkan skru paip saluran gas sebuah kilang. Paip saluran gas ini letaknya di tengah hutan, agak jauh dari syarikat. Kerja pak cik ini setiap hari adalah bergerak dari syarikat, merentas hutan, menelusuri paip gas itu, hinggalah ke hujungnya, untuk memastikan skru-skru itu ketat dan tiada paip yang bocor.



Satu hari, ada seorang pegawai tinggi dalam syarikat itu masuk ke dalam hutan. Dia hendak memeriksa keadaan paip. Dikisahkan bahawa dia akhirnya bertemu dengan pak cik tua si pengetat skru ini.

“Pak cik, pak cikkah yang mengetatkan skru ini?”

Pak cik itu mengangguk.

“Saya hendak ucapkan terima kasih kepada pak cik kerana pak cik komited dengan kerja ini.”

Si pak cik itu, hatinya terus tersentuh. Ini kerana, kerjanya hanyalah mengetatkan skru. Kerja yang lebih rendah daripada tukang sapu sampah di syarikat itu. Dia tiada pakaian khas dan tidak pula makan di kafe syarikat. Kerjanya hanya di dalam hutan, saban hari memeriksa paip gas. Namun, pegawai itu sanggup masuk dan berterima kasih kepadanya.

Si pak cik bertanya, “Tuan, kenapa tuan susah-susah ucap terima kasih? Kerja saya hanya mengetat skru sahaja. Bukannya kerja yang susah dan tidak pula kerja yang tinggi tarafnya.”

Pegawai itu membalas, “Tapi pak cik, akalu pak cik ini tidak sungguh-sungguh ketatkan skru, maka syarikat kami akan bermasalah. Kalau paip gas ini bocor, ada kemungkinan kebakaran akan berlaku. Bukan sahaja syarikat, malah hutan ini pun akan terjejas. Pak cik sebenarnya, dengan mengetatkan skru itu, telah memudahkan kerja semua orang.”

Ya. Hanya mengetatkan skru paip gas. Tapi mempunyai peranan yang besar juga sebenarnya.



Hakikatnya, kalau kita lihat pun, hendak membina sebuah rumah yang cantik, kita memerlukan juga simen yang berwarna kelabu, dan pasir-pasir yang berdebu. Piramid agung Firaun itu, tidak akan terbina tanpa hamba-hamba abdinya.



Saya jadi bersemangat dengan cerita senior ini. Walaupun saya tidak kisah orang memandang lekeh terhadap saya, saya rasa ini adalah cerita yang baik dan perlu kita kongsi bersama.
Saya terus teringat akan kisah pada zaman Rasulullah berkenaan seorang perempuan yang kerjanya adalah membersihkan Masjid Nabawi. Cerita ini ada saya sebut di bab “Beramal Untuk Mengejar Redha ALLAH.”



Satu hari, Rasulullah tidak lagi melihat perempuan itu membersihkan masjid. Lalu baginda bertanya kepada para sahabat, di manakah perempuan itu?

Sahabat-sahabat menyatakan bahawa perempuan itu sudah meninggal dunia.

Rasulullah bertanya lagi, kenapa tidak beritahu kepada baginda.

Sahabat-sahabat menjawab, “Tuan sedang tidur ketika itu ya Rasulullah dan kami amat tahu jika tuan tidur, maka sesungguhnya tuan benar-benar letih.”

Maka Rasulullah meminta ditunjukkan kubur perempuan itu, kemudian baginda melaksanakan solat jenazah ghaib untuk perempuan itu.

Hanya pengutip sampah, namun kehadirannya dirasai oleh Rasulullah dan Rasulullah bersungguh-sungguh memuliakan pengutip sampah ini hingga sanggup melakukan solat jenazah ghaib kepadanya.

Dua contoh untuk kita. Pengetat skru dan pengutip sampah.

Hakikatnya, kita tidak perlu memilih perkara-perkara yang terlalu sukar jika mahu menyumbang sesuatu. Kita ini, menyumbang dengan apa yang kita ada. Kalau kita ini ada kebolehan sebagai pendidik, maka kita gunakan kelebihan kita itu untuk Islam. Kalau kita ada kepakaran dalam multimedia, maka kita sumbangkan kepakaran kita itu untuk membangunkan Islam. Kita ada duit banyak, maka kita gunakan duit kita itu untuk Islam. Kita tiada duit, tiada pula kepakaran, hanya boleh jadi kuli sahaja, kita rajin buat kerja, angkat barang berat, dan sebagainya, maka kita gunakan kelebihan kita dalam menjadi kuli itu, untuk menjadi kuli kepada orang yang hidupnya untuk Islam.

Biar apa pun medan kita, apa pun kelebihan kita, apa pun yang kita ada, sebenarnya kita boleh menyumbang untuk Islam. Kita boleh bergerak ke arah berbuat kebaikan. Walaupun perkara itu kecil, kelihatan lekeh, yakinlah bahawa, semua kebaikan itu bukan sia-sia. Apabila kita lakukan dengan jalan yang dibenarkan syarak, seterusnya bersama niat yang ikhlas, insya-ALLAH perkara itu akan menjadi besar.

Nampak kecil, tetapi insya-ALLAH besar nilainya di sisi ALLAH.
Penulisan saya ini, mungkin tidaklah mampu membawa perubahan kepada seluruh dunia. Tetapi harapnya, penulisan ini mampu mengubah diri saya, dan beberapa manusia lain, seterusnya menggerakkan manusia-manusia yang berubah ini untuk mengubah orang lain pula. Insya-ALLAH.

Saya jadi bersemangat. Benar-benar bersemangat.

Bagaimana dengan anda?

Mari kita bergerak dengan apa yang kita ada, seterusnya kita pertingkatkan lagi diri kita!

-TAMAT-

Okay...sekarang perhatikan bait-bait dalam lagu P. Ramlee ni...

Berkorban apa saja
Harta ataupun nyawa
Itulah kasih mesra
Sejati dan mulia

Kepentingan sendiri
Tidak diingini
Bahgia kekasih
Saja yang diharapi

Berkorban apa saja
Harta ataupun nyawa
Itulah kasih mesra
Sejati dan mulia

Untuk menjadi bukti
Kasih yang sejati
Itulah tandanya
Jika mahu diuji

Berkorban apa saja
Harta ataupun nyawa
Itulah kasih mesra
Sejati dan mulia


Ya...berkorban apa saja...

manifestasisanubari

Assalamualaikum

1 comment:

  1. Getaran jiwa melanda hatiku
    Tersusun nada, irama dan lagu
    Walau hanya sederhana
    Tetapi tak mengapa
    Moga dapat membangkitkan
    Sedarlah kamu wahai insan
    Tak mungkin hilang
    Irama dan lagu
    Bagaikan kembang
    Sentiasa bermadu
    Andai dipisah lagu dan irama
    Lemah tiada berjiwa… hampa
    Tak mungkin hilang (tak mungkin hilang)
    Irama dan lagu
    Bagaikan kembang
    Sentiasa bermadu
    Andai dipisah lagu dan irama
    Lemah tiada berjiwa… hampa
    Tak mungkin hilang
    Sinar bintang tetap terus gemilang
    Dan jasamu, segala baktimu
    Akan terus kekal ke akhir waktu

    ReplyDelete