Peace

Friday 24 July 2015

Daripada Sudut Feminin: La Tia Fea

Assalamualaikum

Dah lama tak menulis kat blog ni...hmmm...

Nak kongsi satu cerita pendek yang aku tulis sendiri...

By manifestasisanubari...

P/S: Shahrul Halim tinggal lagi 40 pages...wohoo!

From the feminine side:

'La Tia Fea'

(Fancy gila...ala-ala Telenovela)

Kisah ini bermula apabila wanita itu muncul kembali dalam hidupku. Kembali? Ya, wanita itu pernah hadir dalam hidupku sebelum ini.
Oh, sebelum saya terus membuat anda menafsirkan hampir kesemua ayat ini secara salah, saya ingin memberitahu kepada anda, wanita itu tidak boleh saya kahwini.
Biar saya beritahu ciri-ciri wanita itu. Wanita itu masih muda namun sudah di hujung usia 20-an. Saya tidak akan memberitahu anda kerana tidak molek untuk berbicara soal usia wanita.
Apabila saya betemunya buat kali kedua, wanita itu masih tidak berubah penampilannya. Masih seperti dahulu. Tiada yang baru. Dia ialah dia.
Tika saya menatap wajahnya, ia mengingatkan saya pada sebuah drama bersiri bertajuk Yo Soy Betty, La Fea.
Kebanyakan orang yang membaca cerita ini di blog saya pasti sudah mengetahui apa yang dimaksudkan saya kerana drama itu agak terkenal dan diadaptasi menjadi drama di kebanyakan negara lain.
Oh, biar saya teruskan dengan penampilannya! Dia seperti yang anda sangkakan, seorang wanita muda yang memakai cermin mata dan berambut kasar, seperti tidak berjaga.
Biasanya rambut itu dibiar lepas dan tidak diikat kemas. Sesiapa yang melihat pasti akan berasa rimas. Namun dia tidak pula begitu. Dia selesa dengan dirinya. Mungkin.
Antara pakaian yang menjadi pilihannya ialah pakaian yang sudah lusuh, seperti dia tidak membeli pakaian yang baru mengikut peredaran zaman.
Tetapi dia tidaklah pula ketinggalan zaman.  Dia pintar dan bijak menguruskan masa. Sekurang-kurangnya itu yang dapat dibanggakan dengan memiliki makcik sepertinya.



Kakinya melangkah perlahan meninggalkan pesawat itu. Saya dapat melihatnya di sebalik cermin lutcahaya itu. Mungkin dia tidak dapat melihatku.
Oren bibirnya jelas menunjukkan tabiatnya yang suka makan asam sewaktu menaiki mana-mana kenderaan. Bibirnya tidak bergincu seperti kebiasaan.
Baru sahaja saya hendak melambai kepadanya tika dia sudah tiba di kawasan yang dikerumuni orang ramai itu, kakinya terpijak sesuatu sebelum terjatuh.
Aduh! Pasti sakit. Saya berlari ke arahnya untuk menghulurkan tangan dan dia menyambutnya. Tangannya yang lembut itu kemudian memeluk saya, melepaskan kerinduan barangkali.
Ternyata gadis itu tidak berubah dengan kasut sukan yang dipakainya dan senyuman polos miliknya. Seketika saya tergamam kerana senyumannya menyerlahkan seribu kemanisan.
Kemanisan yang tidak pernah saya lihat sebelum ini. Sebelum ini, wanita ini pernah menjadi pengasuhku kerana kedua ibu bapa saya terlalu sibuk untuk anak tunggal mereka ini.
Orang yang berada di hadapan saya inilah yang akan menasihati saya agar tidak bercakap hal sedemikian tentang ibu bapa saya kerana mereka...ialah ibu bapa saya?!
Bukankan keredhaan mereka itu penting bagi seorang anak? Ya, wanita ini memang baik. Malang wajahnya tidak secantik perilakunya, jika tidak pasti dia sudah bersuami sekarang.
Apa nak dikata? Tuhan yang menciptakan wajah itu. Jika dikeji, samalah seperti menduga kekuasaan Tuhan dan hikmah milik-Nya.
Tuhan sahaja yang tahu hikmah di sebalik penciptaan-Nya. Cuma kebanyakan daripada manusia tidak sabar kerana mereka tidak nampak kebijaksanaan Tuhan mereka.



Korea Selatan. Wanita itu baru tiba dari negara yang terkenal dengan pembedahan plastik yang dilakukan hampir kebanyakan orang-orang yang ingin memiliki kesempurnaan paras rupa.
Oh, tidakkah saya jelaskan tiada apa yang berubah pada penampilannya? Dia masih dia. Dia ke sana atas urusan kerjanya.
Beliau merupakan seorang pelukis. Graphic designer. Lukisannya agak memberangsangkan, boleh memukau mata yang melihat.
Antara lukisannya yang pernah saya lihat ialah lukisan seorang gadis yang jelita. Kali ini mungkin mampu memukau mana-mana mata lelaki yang melihat.
Ternyata seorang wanita seperti saya turut terkesima apatah lagi lelaki. Ah, lelaki!
Kenalanku kebanyakannya lelaki. Mungkin kerana parasku yang cantik.
Oh, alangkah baiknya jika parasku seperti makcikku. Pasti yang ikhlas sahaja yang akan mendekati.
Baik saya tidak fikirkan hal seperti itu. Lagipun saya masih belasan tahun.
Ah, apa yang saya katakan tentang umur wanita? Hmmm...
17 tahun.



Kenapa saya menulis cerita ini? Cerita ini telah mengubah saya, mengajar saya tentang mata.
Organ terpenting pada tubuh manusia ini telah banyak menipu manusia bagi yang tidak tahu menggunakannya.
Badrul namanya. Seorang lelaki sederhana. Tiada apa yang istimewa.
Apa yang buat saya tertarik kepadanya ialah bagaimana dia mampu menguruskan masanya.
Tuhan sahaja tahu bagaimana Dia menggerakkan hatiku untuk menyukainya.
Kerjanya selalu sahaja siap dan dia mampu menulis senaskhah novel bertajuk Rahsia.
Orang sepertinya tidaklah disangka akan menghasilkan karya seperti itu.
Berdiam diri. Apa yang biasa dilakukannya. Mungkin itu sebabnya dia tidak kelihatan menarik.
Apakah agaknya yang berada dalam fikirannya?
Termenung. Banyak sekali.



Kerap juga saya mendekatinya untuk mengetahui sedikit sebanyak tentangnya.
Oh, waktu itu di sekolah! Saya sengaja meletakkan novel Rahsia yang saya beli di atas meja.
Baru sebentar, dia sudah terlihat novel itu. Tiada siapa di dalam kelas kerana dia suka bersendirian pada waktu rehat.
Alangkah terkejutnya saya apabila melihat dia tersenyum dan kembali ke tempat duduknya.
Tangannya mencapai sesuatu di bawah meja. Sebuah buku nota. Dia kelihatannya seperti menulis sesuatu.
Kerap kali saya menunduk kerana mahu menyembunyikan diri daripada dilihat oleh sesiapa apatah lagi Badrul.
Opocot! Seseorang telah menepuk bahu saya daripada belakang.
Batrisya. Rakan baikku. Dia menundukkan kepala untuk melihat ke arah saya melihat.
Aduh! Pasti haru-biru apabila gadis bermulut murai ini sudah mengetahui rahsia yang saya pegang selama ini.
Tiada. Badrul tidak lagi kelihatan. Saya memandang Batrisya. Dia mengerutkan dahinya. Hairan.



Ke mana pula perginya Badrul? Dia tidak lagi kelihatan di dalam kelas. Batrisya melangkah masuk ke dalam kelas diiringi loceng tanda habisnya waktu rehat.
Otakku ligat memikirkan jika saya melihat hantu di siang hari. Kakiku melangkah perlahan ke dalam kelas. Anak mataku melirik setiap inci bahagian di dalam kelas itu.
Batrisya telah pun duduk di tempatnya. Ramai telah beransur masuk ke dalam kelas. Sebentar lagi, kelas Sejarah akan dimulakan.
Aneh! Badrul tidak kelihatan di mana-mana. Saya meletakkan kedua-dua tangan ke atas meja apabila menyedari novel yang berada di atas meja itu sudah tiada.
Tiba-tiba, ada tangan yang meletakkan novel itu kembali ke atas meja. Badrul. Dia tersenyum. Manis sungguh.
Kepalaku runsing membuatkan saya tidak mengambil perhatian akan apa yang dikatakan Cikgu Hazirah di hadapan.
Orang lain juga apa kurangnya. Ada yang tidur. Ada yang bermain permainan 'titik' dengan menggunakan buku latihan matematik. Ada yang fokus, kebanyakannya berkaca mata.
Badrul senyap sahaja. Tubuhnya tidak bergerak sedari tadi. Dia membelakangiku. Tidak pula saya tahu sama ada dia tidur atau tidak.
Anak kecil di dalam benak ini meronta-ronta ingin tahu sesuatu. Saya membuka novel tersebut.
Terdapat sepucuk surat di dalam novel itu. Saya memandang Badrul. Masih tidak bergerak.



Ke hadapan Hafizah,
Oh, kau cuba nak uji aku, kan?
Bijak dengan umpan aku guna novel yang aku tulis.
Apa yang kau nak tahu sebenarnya?
Tak ada apa-apa yang menarik.
Kau selalu perhatikan aku, kan?
Orang lain mungkin tak perasan.
Bila aku seorang diri biasanya bayang aku pun tak ada.
Aneh. Bayangku sendiri tak aku kenali.
Tanpa bayang-bayang aku lebih selesa.

Pergi.

Saya rasa sakit. Pelik rasanya. Mungkin kerana tidak pernah diperlakukan sebegini. Biasanya, lelaki memilih untuk menghampiriku berbanding menjauhiku. Ternyata dia yang pertama.
Orang pertama yang menyedari semua itu ialah makcik. Saya memanggilnya 'Tia'. Double meaning. Keluargaku berdarah Sepanyol di sebelah ibuku.
Tia membawa maksud makcik. Tia juga nama panggilannya bersama teman-temannya. Nama pendek bagi Sitiaswani. Ya, tanpa jarak.
Bijaksana. Perkataan yang sesuai buat saya untuknya. Dia menyampaikan kepadaku sebuah cerita pendek. Tiada prolog. Tiada epilog.
Terus. Dia menceritakan segalanya.



Nama lelaki itu Wan. Dia seorang lelaki yang tampan, bijak, petah berkata-kata sehinggalah satu hari dia menyedari dia telah jatuh cinta kepada seorang gadis.
Gadis itu temannya. Pada mulanya, dia tidaklah menyukai gadis itu kerana hanya menganggap gadis itu rakan sekelasnya sahaja. Tidak lebih daripda itu.
Ramai juga yang menyukai gadis itu. Mungkin kerana dia cantik. Namun bagi Wan, tidak. Itu bukan sebab utamanya.
Jika senyuman manis itu yang menjadi sebab hatinya bergetar, sudah lama dia sudah jatuh hati. Ternyata itu bukan sebabnya.
Pernah satu ketika dia melihat gadis itu termenung dan wajahnya muram. Sugul. Segala kesedihan terpancar jernih melalui wajahnya.

Sanubarinya cuba mengolah manifestasi yang baru terkesan pada waktu itu. Biasanya dia tidak akan melayan sentimen serupa itu. Kali ini dia gagal.
Dia ingin mengetahui apa yang menghilangkan senyuman manis itu daripada wajah gadis itu. Dia mempelajari satu perkara yang tersembunyi namun sentiasa terlihat dek mata kasar.
Senyuman itu. Biasanya kita tidak menghargai sesuatu yang berada di sekeliling kita. Taken for granted. Apabila sesuatu itu telah hilang barulah kita tercari-cari ke mana perginya permata itu.
Senyuman itu.



Semakin hari, dia cuba mendekati gadis itu dan perlahan-lahan dia banyak menyedari sesuatu. Dia lebih melihat sesuatu itu dari sudut pandang orang lain selain daripada sudut pandangnya sendiri.
Dia lebih memahami manusia. Ada yang bernasib baik. Ada yang tidak. Dia menjadi seorang pendengar yang baik kerana itu adalah ciri-ciri kawan yang terbaik.
Dia tidak ada teman rapat kerana baginya seluruh umat manusia layak dijadikan temannya jika manusia itu saling memahami antara mereka.
Tidak akan ada pembunuhan. Tiada kejahatan. Tiada rampasan kuasa. Tiada perasaan angkuh dan berkuasa daripada orang lain. Kerana tujuan mereka mentadbir bumi, bukan memiliki bumi.



Gadis itu perlahan-lahan kembali tersenyum. Semuanya atas usaha lelaki itu.
Gadis itu berterima kasih kerana lelaki itu sahaja yang mampu menghargai dirinya dan lelaki itulah lelaki pertama yang benar-benar memahami masalahnya.
Kebahagiaan itu abstrak. Tiada siapa yang tahu di mana hujungnya. Tiada siapa pula yang menyangka kebahagiaan itu akan direntap mudah oleh takdir yang tertulis.
Mereka terpisah kerana jarak dan siapa tahu gadis itu bisa berubah hatinya. Mungkin merasa dirinya tidak selamat kerana hal itu. Gadis itu memerlukan seseorang untuk dia mengadu.
Siapa sangka rakan baik mereka, Adam, dipilih wanita itu. Wan reda dengan ketentuan itu. Gadis itu berhak bahagia.
Wan difitnah dengan pelbagai cerita. Lebih-lebih lagi, sikapnya yang dingin terhadap gadis itu.
Sebenarnya, apa yang dia lakukan hanya menegur beberapa perkara yang dia tidak suka gadis itu lakukan.
Namun gadis itu tidak sepertinya. Gadis itu tidak memandang lelaki yang sering menegurnya itu hanya inginkan yang terbaik buatnya, seperti seorang ayah yang memarahi anaknya.
Bukannya lelaki seperti Adam yang hanya mengiakan sahaja kata-kata gadis itu hanya kerana dia menginginkan gadis itu.
Wan tahu gadis itu mempunyai masalah keluarga. Mungkin kerana itu jugalah gadis itu tidak dapat menerima kedinginan seorang 'ayah baru'.

Tia terhenti. Air matanya mengalir. Dia bergerak untuk mendapatkan sesuatu. Kaca matanya ditanggalkan. Saya terfikirkan sesuatu.
Apa yang diceritakan Tia sebentar tadi seperti pernah saya mendengarnya.
Ya! Novel bertajuk Rahsia itu.
Jalan ceritanya betul-betul sama namun pengakhirannya diakhiri dengan...
Tia kembali dengan sesuatu di tangannya. Segulung kertas.
Dia membuka kertas tersebut sambil mengesat air matanya.

"Inilah Wan," katanya.

Saya terkejut apabila gulungan kertas itu dibuka.  Lukisan gadis yang cantik itu. Bukankah telah saya katakan sesiapa sahaja boleh terpukau melihat kecantikan gadis itu?
Apa yang membuatkan saya lebih terkejut ialah wanita yang berada di hadapan saya kini sungguh cantik dengan rambutnya yang diikat ke belakang dan wajahnya tanpa cermin mata itu.
Saya teringatkan senyumannya sewaktu berada di lapangan terbang tempoh hari. Baru saya faham. Wan di dalam ceritanya itu ialah watak sebenar dengan sedikit twist.
Masih ingatkah namanya, Sitiaswani? Adam pula bukan nama sebenar gadis yang telah mencuri lelaki itu daripada hidup makcikku.
Sejak hal itu, Tia mengambil keputusan untuk mengubah perwatakannya dan menyembunyikan kecantikannya.
Namun, kali ini saya mengetahui rahsianya. Ya! Rahsia.

Tapi siapa pula Badrul?

No comments:

Post a Comment